Rabu, 03 Februari 2010

Adab-Adab Seorang Isteri dan Wasiat Seorang Ibu


Kepentingan Masturat Wanita >> Adab-Adab Seorang Isteri & Wasiat Seorang Ibu

Adab-Adab Seorang Isteri:

    Seorang wanita memberikan nasihat kepada anak perempuannya yang akan berkawin: Jagalah sepuluh perkara ini untuk kepentingannya:

1 & 2.    Dampingilah dia dengan penuh kerelaan dan bergaulah dengan baik.

3 & 4.    Jagalah tempat yang menjadi sasaran mata dan hidungnya. Bersihkan diri agar sedap matanya memandang.

5 & 6.    Jagalah waktu makan dan tidurnya, kerana rasa lapar dan tidur yang terganggu akan menyebabkannya marah.

7 & 8.    Jagalah hartanya dan jalinkan hubungan yang baik dengan keluarganya.

9 & 10. Janganlah menderhakai perintahnya dan jangan membocorkan rahsianya. Janganlah bergembira di hadapannya, jika dia sedang berduka dan janganlah berduka jika dia sedang bergembira.


Wasiat Seorang Ibu Untuk Anaknya

    Setelah Al Haris bin Amr, Raja negeri Kandah berkahwin dengan anak perempuan Auf bin Muhlim, di waktu utusan di raja hendak membawa pengantin perempuan untuk disampaikan kepada Raja tadi, maka ibunya berwasiat kepada anak perempuannya ini. Dia berkata:-

    "Wahai anakku!
    Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu
    aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya,
    Tetapi !
    Ia sebagai peringatan untuk yang lalai
    Dan pedoman kepada yang berakal.

        Andai ibu-bapamu dapat memberikan segala-galanya
        nescaya,
        tidak perlu bagimu seorang suami
        dan kau terlalu berharga bagi kami,
        Tetapi !
        Wanita dicipta untuk lelaki
        Lelaki dicipta untuk wanita.

    Berceraila kau dari ayunan buaianmu
    meninggalkan teratak tempat besarmu
    melangkah menuju ke alam baru
    yang belum kenal
    yang belum biasa

        Kau milik suamimu
        anggap dirimu sebagai hamba
        tentunya suamimu
        jadi teman yang paling setia

    Bawalah wasiat dariku
    sepuluh sifat
    sebagai bekalan perjalanan
    menuju alam bahagia

        Relakan hatimu
        sekadar yang ada
        semoga suci hatimu
        dengan taat setia
        dan hulur tanganmu
        tanda mahu berganding bahu
        jauhkan dirimu dari
        segala yang jelek
        yang dihidu atau dipandang mata
        juga awasi gerak lakumu
        agar tidak sumbang mengguris rasa

    Sembunyikan suram wajahmu
    gantikan ia dengan sinar
    secerah sang suria pagi

        Dan badan yang semerbak harum
        bermandikan bauan
        mata berpasak, kening bercelak
        itu menambah seri
        itu membankitkan berahi
        dan…………….
        air cukup memada
        bagi yang tiada

    Jaga masa makannya
    juga waktu tidurnya
    kerana,
    perut kosong hilang bicara
    mata mengantuk hilang kesabaran di dada

        Kunci mulutmu
        tabahkan hatimu
        badanmu terselamat
        jiwa temanmu tidak terseksa

    Simpan dulu kerianganmu
    di kala dia berduka
    pendamkan kesedihanmu
    di kala dia bergembira
    akibat aksi tidak senada
    hilang simpatimu disebab pertama
    keruh suasana disebab kedua

        Hulur tanganmu……
        andai kau menghulur sebelah tangan
        nescaya dia menghulur kedua belah tangan
        tidak cukup tangan, nyiru pula ditadahkan

        Ketahuilah !
            Kasihmu tiada sampai ke mana
            Jika hatimu berdua tidak sejiwa
            kasih kau, kasihlah dia
            benci kau, bencilah dia
            Allah saja yang menentukan nasibmu."

    "Kau bawalah wasiatku ini, dan sampaikan salamku kepada suamimu." Beginilah ibu tadi menambah pesanan kepada anaknya. Seterusnya wanita ini telah tercapai kedudukan yang mulia di sisi suaminya. Dia telah memperolehi tujuh orang anak lelaki, yang semuanya mereka telah menjadi pemerintah negeri Yaman selepas ayah mereka. Beginilah seterusnya statusnya wanita-wanita yang memiliki kelebihan.

    Aku sudahi dengan nama Allah, semoga Dia memberi taufik dan hidayat. Amin.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar